Tuesday, January 25, 2011

Cendawan Goreng

Hmmmm... Selama ini goreng cendawan mesti lembik, makan minyak dan tak ranggup. Tertanya pada diri sendiri macam mana nak buat cendawan goreng yang ranggup. Pada awal bulan Januari lalu, saya dan kawan baik saya pergi kenduri kahwin kawan (nama dia Adah) di Banting. Keluarga dia pengusaha cendawan. Menanam dan menjual cendawan. Masa majlis perkahwinan Adah salah satu lauk yang dihidangkan adalah cendawan goreng. Sedap.


Gambar lauk yang saya ambil masa majlis tersebut. Hihi. Cendawan goreng tu penting. Saya suka. Siap kat depan meja buffer tu diletakkan pokok cendawan. Menarik.


Akhirnya, saya tanya juga kat Adah cam ne nak masak cendawan goreng yang ranggup. Dia just terangkan cara memasaknya. Amat senang. :)

Cendawan goreng yang ringkas dan senang dimasak.

Bahan-bahan
- Cendawan
- Tepung gandum
- Serbuk kari dan lada - Boleh letak rempah lain sebagai perasa sendiri
- Garam

Cara memasak
Basuh cendawan dan toskan. Tepung, serbuk kari, lada hitam dan garam digaul bersama. Masukkan cendawan yang telah ditoskan. Pastikan minyak telah panas sebelum menggoreng cendawan. Amaran, jangan basuh cendawan dan gaul dengan tepung terlalu awal dan menuggu minyak panas. Cendawan perlu digaul dengan tepung tersebut dan terus digoreng. Basuh cendawan mengikut kecukupan untuk digoreng dalam satu masa.


Ini hasil yang telah saya cuba buat. Memang menjadi. Suka sangat. Thanks Adah. :)

Saturday, January 15, 2011

Pau

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pembuatan pau sebenarnya tak susah, cuma ia memakan masa yang lama kerana adunan tepung pau itu perlu dibiarkan sehingga kembang. Dibawah adalah resepi bagi adunan tepung pau.

1000 g tepung gandum/tepung pau (Blue Key)
11 g (sebungkus) Yis Segera Mauripan
200 g (1 cawan) gula
100 g (½ cawan) minyak jagung
460 g (2 ½ cawan) air

Satukan tepung, yis dan gula. Gaul. Kemudian masukkan air dan adunkan sehingga adunan tepung tadi menjadi licin. Kemudian biarkan adunan sehingga adunan tersebut kembang 2 kali ganda daripada asal. Tutup bahagian atas bekas dengan kain lembap dan biarkan adunan ditempat yang panas. Selepas kembang tumbuk adunan tersebut dan uli sekejap. Bulatkan adunan dan masukkan inti. Lapik adunan dengan kertas dan biarkan selama 5-10 minit sebelum masak. Selepas itu masak kedalam pengukus selama 10 minit dengan api kuat.

Dibawah adalah gambar dalam pembuatan pau, walaupun bukan setiap langkah dalam pembuatan pau saya tangkap.

Kotak tepung pau Blue Key 1 kg.


1) Daging lembu dipotong dadu/kecil-kecil.
2) Bawang kecil dan bawang putih dicincang.
3) Kentang yang telah direbus terlebih dahulu dan dipotong dadu (rebus separuh masak).
4) Lobak merah dipotong dadu kecil.
5) Cili besar dipotong dadu kecil.
6) Rempah kari (bibancuh air sebelum ditumis).

Cara-cara membuat:
Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawng putih. Bawang sudah garing masukkan rempah kari yang dibancuh dan tumis sehingga naik minyak. masukkan lobak merah, daging dan kentang sehingga empuk. Masukkan cili besar dan kacau lagi. Masukkan sedikir garam dan gula sebagai perasa.


Inti yang telah siap dimasak.


Adunan tepung yang sudah diuli sehingga licin permukaannya dan dibiarkan. Tutup bahagian atas bekas dengan kain lembap dan biarkan adunan ditempat yang panas.


Selepas adunan tepung dibiarkan dan kembang 2 kali ganda daripada yang asal.


Lapik adunan dengan kertas dan biarkan selama 5-10 minit sebelum masak.


Pau yang sudah dimasak di dalam pengukus.

Sebahagian pau yang sudah dimasak dan sedia dimakan. :)


Bahagian dalam pau. ~~~ :)

Friday, January 14, 2011

Proses membakar lemang dan siap

Proses membakar lemang dan siap

Sediakan bara api.

Apabila bara api telah siap. Letakkan keseluruhan lemang. Jangan letak lemang tersebut terlampau condong, ia mengakibatkan santan di dalam lemang akan tumpah.

Balikkan lemang dari bahagian ke bahagian supaya ianya masak keseluruhan. Semasa membakar tengok dibahagian atas lemang samaada santan kering atau tidak. Tambah santan jika lemang tersebut tidak cukup santan (bahagian atas mentah).

Inilah hasil jika lemang sudah masak. Keluarga saya gemar meletakkan lemang tersebut disitu sehingga petang supaya semasa berbuka puasa nanti kami boleh makan lemang panas-panas. Sedap... ~~~ :)

Lemang yang telah diangkat ke atas rumah.

Lemang jagung. Sedap. Tiba masa untuk makan ketika lemang masih panas. Lemang yang asli saya terlupa nak ambil gambarnya. Terlupa sebab kat kepala asyik ingat nak makan lemang je. ....... :)

Penyediaan buluh .::. Membuat pulut lemang .::. Proses membakar lemang dan siap
Membuat pulut lemang


Bersihkan beras pulut dan keringkan air.

Parut kelapa.

Ramas-ramas kelapa.

Perah kelapa untuk mendapatkan santan. Tapis kelapa untuk asingkan hampas kelapa dengan santan.

Gaulkan santan dengan beras pulut tadi. Masukkan garam sebagai perasa. Hanya masukkan garam secukup rasa. Masukkan beras pulut ke dalam buluh berserta santan. Jangan isi beras purut sehingga penuh buluh, biarkan tinggal ruang sedikit diatasnya supaya ketika memasak ianya tidak membuak keluar. Masukkan santan sehingga tutupi beras didalam buluh tersebut.

Jika mahukan kelainan, boleh memasukkan jagung ke dalam beras pulut tadi. Jika memasukkan jagung, santan jangan terlampau banyak. Hanya memasukkan santan sama paras dengan beras pulut.


Inilah hasil apabila buluh sudah diisi dengan beras pulut (memang tak nampak...hiihi..saja nak tunjuk). :)

Penyediaan buluh .::. Membuat pulut lemang .::. Proses membakar lemang dan siap

Pengalaman membuat lemang

Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri, nenek saya akan membuat lemang serta rendang ayam. Lemang menjadi perkara wajib setiap tahun untuk beraya. Setiap tahun balik kampung untuk beraya adalah perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh saya dan keluarga. Gambar dibawah merupakan proses membuat lemang. Kita mulakan dengan memasukkan daun pisang ke dalam buluh.

Penyediaan buluh

Buluh hendaklah yang nipis dan perlu dicuci sebelum guna. Gunakan daun pisang yang muda dan potong daun tersebut mengikut panjang buluh (biarkan lebih sedikit daripada tinggi buluh).

Gunakan batang ditengah daun pisang untuk dijadikan pemegang daun pisang untuk dimasukkan ke dalam buluh.

Belah batang ditengah daun pisang tersebut dan masukkan daun pisang di dalam belahan tersebut. Kemudian gulung daun pisang tersebut.

Gulung lagi....

Gulung sehingga daun pisang sehingga di penghujung daun tersebut.

Masukkan gulungan tersebut ke dalam buluh. Masukkan gulungan itu sampai ke dasar buluh tersebut.

Apabila gulungan itu sampai ke dasar buluh, tarik perlahan-lahan batang pisang tadi keluar.

Dengan menggunakan batang pisang tadi, ratakan daun pisang ke sekitar dinding buluh tersebut.

Inilah separuh daripada hasil yg sudah siap dimasukkan daun pisang ke dalam buluh.


Penyediaan buluh .::. Membuat pulut lemang .::. Proses membakar lemang dan siap