Monday, June 6, 2011

Resepi Lamb Chop dan Chicken Chop

Lamb Chop



Chicken Chop



Resepi Lamb Chop dan Chicken Chop adalah sama. Saya membuat kedua-duanya sekali kerana saya tidak meminati daging kambing. Semua ahli keluarga saya meminati kambing tetapi saya tidak. Jadi saya pun membuat chicken chop untuk diri sendiri. Resepi seperti dibawah...

Bahan perap daging kambing dan ayam

4 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1/2 sudu besar serbuk lada hitam (boleh ditambah jika mahu)
2 ulas bawang putih

- Untuk daging kambing, basuh daging tersebut jangan terlampau lama. Basuh hanya untuk membuang kotoran sahaja. basuh lap daging tersebut dengan kain bersih dan kering. Daging ayam juga perlu dilap dengan kain kering dan bersih selepas dibasuh. Tumbuk bawang putih dan satukan semua bahan didalam satu mangkuk. Lumurkan bahan campuran tadi pada daging sehingga rata. Perapkan semalaman sebelum dibakar. Hanya daging kambing sahaja dibakar. Bagi daging ayam perlu disalut dan digoreng. Bahan salutan daging ayam adalah seperti dibawah.

Salutan Daging ayam

1 biji telur
2 keping roti
sedikit garam

-Bakar 2 keping roti. Mesin roti selepas dibakar menggunkan mesin pengisar kering untuk dijadikan serbuk roti, ke tepikan. Pecahkan telur dan pukul beserta garam. Celup daging ayam yang telah diperap semalaman ke dalam telur. Ratakan serbuk roti tadi keatas daging ayam yang telah dicelup telur. Panaskan kuali dengan minyak sedikit dan goreng daging ayam dengan api perlahan sehingga kekuningan dan garing.

Coleslaw

1/2 biji kubis
1/2 biji lobak merah
mayonis (mencukupi untuk digaul dengan kubis dan lobak merah)
1 sudu besar lemon juice

- Potong kubis dengan potongan yang sangat nipis. Sagat lobak merah. Satukan kubis dan lobak merah didalam mangkuk. Masukkan mayonis dan lemon juice, gaul rata.

Sos lada hitam

1 labu bawang besar (potong dadu)
1 sudu besar mentega
2 sudu tepung gandum (ayak dan dibancuh dengan air)
1 liter air
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar lada hitam
1 kiub ayam
sedikit garam
sedikit gula

- Panaskna mentega dalam kuali dan tumis bawang yang telah dipotong dadu tadi hingga layu. Masukkan air dan kesemua bahan diatas kecuali tepung gandum yang telah dilarutkan dengan air. Tunggu sehingga menggelegak dan masukkan tepung gandum yang dilarutkan air tadi sikit demi sedikit. Semasa memasukkan tepung hendaklah sentiasa digaul. Gaul sos sehingga menggelegak. Jangan biarkan terlalu lama, ia kemungkinan boleh mengakibatkan sos tersebut berketul-ketul. Selepas menggelegak, masukkan garam dan gula. Masukkan mengikut citarasa sendiri.

Mesh Potato

6-8 biji ubi kentang (dibuang kulit, dipotong dan direbus)
1 sudu besar butter
1/2 cawan susu cair
sedikit lada sulah
sedikit garam

-Masukkan ubi kentang kedalam periuk berasma air. Pastikan air diisi sehingga sama ketinggian dengan ubi kentang. Rebus ubi kentang sehingga air tadi kering. Jangan biarkan air terlampau kering atau ubi kentang menjadi hitam. :) Biarkan sejuk. Selepas sejuk, lenyek ubi tersebut sehingga kesemua ubi tersebut hancur. Masukkan lada hitam, butter, susu cair dan garam. Gaul rata. Rasa mengikut citarasa.

Broccoli dan Daun Saderi

Sayuran ini adalah tambahan saya sahaja. Anda boleh menambah selain sayur ini ikut citarasa anda. Saya hanya menumis broccoli dan daun saderi dengan minyak, bawang putih dan sedikit garam. Tumis sehingga sayur tadi masak. Saya sukakan sayur tersebut tidak terlalu layu.

Hidang daging dengan Coleslaw, mesh potato, dan sayur tambahan kedalam pinggan. Selamat mencuba. ~~~ :)

Thursday, May 12, 2011

GA Trying

Tuesday, February 1, 2011

Kek Gula Hangus

Saya suka makan kek gula hangus ni. Selalunya beli je kalau teringin nak makan. Satu hari tu kawan saya pon bawa pergi kelas. Saya makan dan rasanya sedap macam kat kedai. Saya tanya buat atau beli. Kawan pon jawab, "buat sendiri la". Wahh...apa lagi saya terus tanya resepinya. Inillah resepi yang saya dapat.

Bahan untuk gula hangus:
- 2 cawan gula
- 2 cawan air
- 2 sudu marjerin

Bahan adunan
- 6 biji telur
- 2 cawan tepung gandum
- 1 cawan susu pekat/ susu manis
- 2 sudu besar soda bikarbonat
- 2 penutup esen vanila

Masukkan gula dalam periuk dan gaulkan sehingga keseluruhan gula cair dan bewarna coklat.


Apabila kesemua gula hancur dan bewarna coklat, masukkan air. Pada permulaan proses masuk air saya agak terkejut. Gula tersebut seperti meletup. Haha. Bila dah masukkan air gula tadi akan berketul tetapi terus gaul sehingga kesemua gula tadi larut dalam air.


Apabila kesemua gula larut dalam air masukkan marjerin dan biarkan sejuk.


Ini bahan tepung/adunan. Telur (bekas putih), tepung (bekas merah), Susu pekat/manis (bekas biru), esen vanila dan soda bikarbonat.


Pukul telur, tidak perlu kembang. Kemudian masukkan susu dan esen vanila. Gaul.


Masukkan gula hangus yang telah sejuk tadi.


Gaulkan dan sebatikan.


Masukkan tepung. Gaul. Ia akan berketul. Tapis adunan.


Selepas ditapis.


Sapukan loyang pembakar dengan sedikit minyak dan tepung supaya kek nanti tidak melekat pada loyang.


Masukkan adunan dalam loyang. Pastikan adunan mestilah separuh daripada loyang. Ini kerana ia akan kembang sekali ganda.


Bakar dengan suhu 150 celcius selama 1 jam. 1/2 jam bakar dengan api atas dan bawah. 1/2 kemudian bakar dengan api bawah sahaja.


Inilah hasil selepas dibakar.


Hasil selepas dipotong.

Rasanya sedap tetapi warna pada kek tu ada 2 warna. Hihi. Percubaan pertama saya, so ianya tidaklah sempurna. :)

Tuesday, January 25, 2011

Cendawan Goreng

Hmmmm... Selama ini goreng cendawan mesti lembik, makan minyak dan tak ranggup. Tertanya pada diri sendiri macam mana nak buat cendawan goreng yang ranggup. Pada awal bulan Januari lalu, saya dan kawan baik saya pergi kenduri kahwin kawan (nama dia Adah) di Banting. Keluarga dia pengusaha cendawan. Menanam dan menjual cendawan. Masa majlis perkahwinan Adah salah satu lauk yang dihidangkan adalah cendawan goreng. Sedap.


Gambar lauk yang saya ambil masa majlis tersebut. Hihi. Cendawan goreng tu penting. Saya suka. Siap kat depan meja buffer tu diletakkan pokok cendawan. Menarik.


Akhirnya, saya tanya juga kat Adah cam ne nak masak cendawan goreng yang ranggup. Dia just terangkan cara memasaknya. Amat senang. :)

Cendawan goreng yang ringkas dan senang dimasak.

Bahan-bahan
- Cendawan
- Tepung gandum
- Serbuk kari dan lada - Boleh letak rempah lain sebagai perasa sendiri
- Garam

Cara memasak
Basuh cendawan dan toskan. Tepung, serbuk kari, lada hitam dan garam digaul bersama. Masukkan cendawan yang telah ditoskan. Pastikan minyak telah panas sebelum menggoreng cendawan. Amaran, jangan basuh cendawan dan gaul dengan tepung terlalu awal dan menuggu minyak panas. Cendawan perlu digaul dengan tepung tersebut dan terus digoreng. Basuh cendawan mengikut kecukupan untuk digoreng dalam satu masa.


Ini hasil yang telah saya cuba buat. Memang menjadi. Suka sangat. Thanks Adah. :)

Saturday, January 15, 2011

Pau

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pembuatan pau sebenarnya tak susah, cuma ia memakan masa yang lama kerana adunan tepung pau itu perlu dibiarkan sehingga kembang. Dibawah adalah resepi bagi adunan tepung pau.

1000 g tepung gandum/tepung pau (Blue Key)
11 g (sebungkus) Yis Segera Mauripan
200 g (1 cawan) gula
100 g (½ cawan) minyak jagung
460 g (2 ½ cawan) air

Satukan tepung, yis dan gula. Gaul. Kemudian masukkan air dan adunkan sehingga adunan tepung tadi menjadi licin. Kemudian biarkan adunan sehingga adunan tersebut kembang 2 kali ganda daripada asal. Tutup bahagian atas bekas dengan kain lembap dan biarkan adunan ditempat yang panas. Selepas kembang tumbuk adunan tersebut dan uli sekejap. Bulatkan adunan dan masukkan inti. Lapik adunan dengan kertas dan biarkan selama 5-10 minit sebelum masak. Selepas itu masak kedalam pengukus selama 10 minit dengan api kuat.

Dibawah adalah gambar dalam pembuatan pau, walaupun bukan setiap langkah dalam pembuatan pau saya tangkap.

Kotak tepung pau Blue Key 1 kg.


1) Daging lembu dipotong dadu/kecil-kecil.
2) Bawang kecil dan bawang putih dicincang.
3) Kentang yang telah direbus terlebih dahulu dan dipotong dadu (rebus separuh masak).
4) Lobak merah dipotong dadu kecil.
5) Cili besar dipotong dadu kecil.
6) Rempah kari (bibancuh air sebelum ditumis).

Cara-cara membuat:
Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawng putih. Bawang sudah garing masukkan rempah kari yang dibancuh dan tumis sehingga naik minyak. masukkan lobak merah, daging dan kentang sehingga empuk. Masukkan cili besar dan kacau lagi. Masukkan sedikir garam dan gula sebagai perasa.


Inti yang telah siap dimasak.


Adunan tepung yang sudah diuli sehingga licin permukaannya dan dibiarkan. Tutup bahagian atas bekas dengan kain lembap dan biarkan adunan ditempat yang panas.


Selepas adunan tepung dibiarkan dan kembang 2 kali ganda daripada yang asal.


Lapik adunan dengan kertas dan biarkan selama 5-10 minit sebelum masak.


Pau yang sudah dimasak di dalam pengukus.

Sebahagian pau yang sudah dimasak dan sedia dimakan. :)


Bahagian dalam pau. ~~~ :)

Friday, January 14, 2011

Proses membakar lemang dan siap

Proses membakar lemang dan siap

Sediakan bara api.

Apabila bara api telah siap. Letakkan keseluruhan lemang. Jangan letak lemang tersebut terlampau condong, ia mengakibatkan santan di dalam lemang akan tumpah.

Balikkan lemang dari bahagian ke bahagian supaya ianya masak keseluruhan. Semasa membakar tengok dibahagian atas lemang samaada santan kering atau tidak. Tambah santan jika lemang tersebut tidak cukup santan (bahagian atas mentah).

Inilah hasil jika lemang sudah masak. Keluarga saya gemar meletakkan lemang tersebut disitu sehingga petang supaya semasa berbuka puasa nanti kami boleh makan lemang panas-panas. Sedap... ~~~ :)

Lemang yang telah diangkat ke atas rumah.

Lemang jagung. Sedap. Tiba masa untuk makan ketika lemang masih panas. Lemang yang asli saya terlupa nak ambil gambarnya. Terlupa sebab kat kepala asyik ingat nak makan lemang je. ....... :)

Penyediaan buluh .::. Membuat pulut lemang .::. Proses membakar lemang dan siap
Membuat pulut lemang


Bersihkan beras pulut dan keringkan air.

Parut kelapa.

Ramas-ramas kelapa.

Perah kelapa untuk mendapatkan santan. Tapis kelapa untuk asingkan hampas kelapa dengan santan.

Gaulkan santan dengan beras pulut tadi. Masukkan garam sebagai perasa. Hanya masukkan garam secukup rasa. Masukkan beras pulut ke dalam buluh berserta santan. Jangan isi beras purut sehingga penuh buluh, biarkan tinggal ruang sedikit diatasnya supaya ketika memasak ianya tidak membuak keluar. Masukkan santan sehingga tutupi beras didalam buluh tersebut.

Jika mahukan kelainan, boleh memasukkan jagung ke dalam beras pulut tadi. Jika memasukkan jagung, santan jangan terlampau banyak. Hanya memasukkan santan sama paras dengan beras pulut.


Inilah hasil apabila buluh sudah diisi dengan beras pulut (memang tak nampak...hiihi..saja nak tunjuk). :)

Penyediaan buluh .::. Membuat pulut lemang .::. Proses membakar lemang dan siap

Pengalaman membuat lemang

Setiap tahun menjelang Hari Raya Aidilfitri, nenek saya akan membuat lemang serta rendang ayam. Lemang menjadi perkara wajib setiap tahun untuk beraya. Setiap tahun balik kampung untuk beraya adalah perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh saya dan keluarga. Gambar dibawah merupakan proses membuat lemang. Kita mulakan dengan memasukkan daun pisang ke dalam buluh.

Penyediaan buluh

Buluh hendaklah yang nipis dan perlu dicuci sebelum guna. Gunakan daun pisang yang muda dan potong daun tersebut mengikut panjang buluh (biarkan lebih sedikit daripada tinggi buluh).

Gunakan batang ditengah daun pisang untuk dijadikan pemegang daun pisang untuk dimasukkan ke dalam buluh.

Belah batang ditengah daun pisang tersebut dan masukkan daun pisang di dalam belahan tersebut. Kemudian gulung daun pisang tersebut.

Gulung lagi....

Gulung sehingga daun pisang sehingga di penghujung daun tersebut.

Masukkan gulungan tersebut ke dalam buluh. Masukkan gulungan itu sampai ke dasar buluh tersebut.

Apabila gulungan itu sampai ke dasar buluh, tarik perlahan-lahan batang pisang tadi keluar.

Dengan menggunakan batang pisang tadi, ratakan daun pisang ke sekitar dinding buluh tersebut.

Inilah separuh daripada hasil yg sudah siap dimasukkan daun pisang ke dalam buluh.


Penyediaan buluh .::. Membuat pulut lemang .::. Proses membakar lemang dan siap